mailto:uumlib@uum.edu.my 24x7 Service; AnyTime; AnyWhere

Perbezaan penghayatan nilai murni dalam kalangan pelajar sekolah menengah

Othman, Mohamad Khairi (2017) Perbezaan penghayatan nilai murni dalam kalangan pelajar sekolah menengah. In: Sintok International Conference on Social Science and Management (SICONSEM 2017), 4-5 December 2017, Adya Hotel, Langkawi Island, Kedah, Malaysia.

[thumbnail of SICONSEM 2017  195 197.pdf] PDF
Restricted to Registered users only

Download (352kB) | Request a copy

Abstract

Tujuan - Anajakan ketiga dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 ialah untuk melahirkan rakyat Malaysia dengan penghayatan nilai. Namun begitu, dalam perkembangan kini, masalah gejala sosial dan disiplin pelajar didapati semakin hari semakin serius. Pendidikan hari ini terlalu memfokuskan kepada kejayaan akademik yang menyebabkan pendidikan afektif diabaikan. Rentetan daripada isu ini, satu persoalan yang amat berkait dengan permasalahan ini ialah apakah status penghayatan nilai murni dalam kalangan pelajar masa kini. Oleh itu, kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengenal pasti tahap penghayatan nilai murni dalam kalangan pelajar dan adakah ia berbeza berdasarkan aspek lokasi sekolah, aliran pengajian dan jantina pelajar? Metodologi - Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian tinjauan kuantitatif. Populasi sasaran dalam kajian ini adalah semua pelajar sekolah menengah kebangsaan harian di Semenanjung Malaysia. Manakala, populasi perolehi ialah pelajar-pelajar tingkatan empat yang sedang mengikuti persekolahan di sekolah menengah kebangsaan harian di Semenanjung Malaysia iaitu seramai 337 422 (EPRD, KPM). Pemilihan pelajar tingkatan empat untuk menyertai kajian ini dibuat kerana secara umumnya mereka telah melepasi tahap kematangan umur baligh (melebihi 15 tahun) (Abdullah Nasih ’Ulwan, 1984).Dari segi sampel kajian secara asasnya, kaedah persampelan yang digunakan bagi memilih sampel dalam kajian ini ialah kaedah persampelan secara rawak. Bagi melaksanakan kaedah persampelan ini, teknik persampelan rawak berlapis, persampelan rawak berkelompok dan persampelan rawak mudah telah digunakan. Dengan itu, sampel seramai 448 orang pelajar tingkatan empat sekolah menengah harian Semenanjung Malaysia yang telah menjawab soal selidik telah dipilih untuk digunakan dalam analisis kajian ini. Jumlah sampel yang diperolehi untuk dianalisis adalah melebihi bilangan minimum saiz sampel yang dinyatakan oleh Cochran (1977) dan Krejcie dan Morgan (1970) iaitu seramai 384 orang. Data dikutip melalui soal selidik “inventori penghayatan nilai murni” mengandungi 113 item yang dibangunkan oleh pengkaji berasaskan 17 dimensi nilai murni mengikut ketetapan Bahagian Pembangunan Kurikulum, KPM. Kesahan muka dan kandungan instrumen yang digunakan dalam kajian telah diperakui dan persetujuan oleh lima orang panel pakar. Panel pakar telah menilai kandungan ítem-item soal selidik mencukupi, mencakupi dan sesuai untuk mendapatkan maklumat berkaitan penghayatan nilai murni pelajar. Bagi menentukan tahap kebolehpercayaan instrumen, ujian Cronbach Alpha dijalankan dan didapati nilai alpha bagi setiap dimensi item berada di atas 0.7. Keseluruhan item inventori penghayatan nilai murni mencatat nilai alpha .95. Data kajian telah dianalisis menggunakan statistik deskriptif yang melibatkan min dan sisihan piawai serta analisis inferensi yang melibatkan ujian MANOVA. Ujian MANOVA digunakan apabila sesuatu kajian mempunyai lebih daripada satu daripada pemboleh ubah bersandar. Dalam kajian ini pemboleh ubah bersandar ialah penghayatan nilai murni pelajar secara keseluruhan dan dimensi-dimensi nilai murni. Ia merupakan analisis varians yang digunakan bagi membuat perbandingan sesuatu kumpulan dengan beberapa dimensi pemboleh ubah bersandar secara serentak. Dapatan - Hasil kajian menunjukkan bahawa secara keseluruhannya penghayatan nilai murni pelajar berada pada tahap sederhana tinggi (M=3.79, SP=.35). Dapatan selanjutnya menunjukkan daripada 17 nilai murni, terdapat 3 dimensi nilai menunjukkan tahap penghayatan yang tinggi, manakala 14 dimensi nilai menunjukkan tahap penghayatan sederhana tinggi. Dapatan analisis MANOVA pula menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan penghayatan nilai murni pelajar secara keseluruhan dan mengikut dimensi-dimensi nilai murni berdasarkan lokasi sekolah [Wilks’λ=.899, F(1,446)=2.856, p<0.01], aliran pengajian [Wilks’λ=.844, F(1,446)=4.684, p<0.01] dan jantina [Wilks’λ=.902, F(1,446)=2.746, p<0.01]. Didapati responden daripada sekolah bandar, aliran sains dan perempuan memperlihatkan skor min penghayatan nilai murni yang lebih tinggi berbanding responden-responden lain.Kepentingan – Kajian mengenai penghayatan nilai murni pelajar adalah penting untuk menjelaskan status semasa tahap penghayatan nilai murni pelajar supaya usaha-usaha membina generasi remaja kini ke arah pembangunan modal insan yang mantap dapat dilaksanakan dengan berkesan. Hasil kajian ini diperlihatkan secara keseluruhannya tahap penghayatan nilai murni adalah sederhana tinggi. Dapatan jelas menunjukkan daripada tujuh belas nilai murni yang dikaji didapati hanya tiga dimensi nilai murni menunjukkan tahap penghayatan yang tinggi dan empat belas dimensi nilai murni menunjukkan tahap penghayatan yang sederhana tinggi. Ini menggambarkan bahawa sikap mereka yang mementingkan sebahagian sahaja nilai-nilai murni perlu diberi perhatian. Ini penting supaya gejala sosial dalam kalangan remaja dapat dibendung. Selain itu, pihak-pihak yang terlibat dalam konteks pembangunan insan samada di peringkat kementerian, jabatan, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan sebagainya perlu memberi perhatian dan usaha yang lebih terutama terhadap nilai-nilai murni yang berada tahap sederhana tinggi supaya nilai-nilai tersebut ada peningkatan dari segi tahap penghayatannya. Selain, hasil kajian ini juga memberi implikasi kepada pelbagai pihak bahawa faktor demografi seperti aspek lokasi sekolah, aliran pengajian dan jantina memainkan peranan dalam usaha membentuk penghayatan nilai murni pelajar

Item Type: Conference or Workshop Item (Paper)
Additional Information: eISBN 978-967-2064-65-7 Organized by: UUM Press Universiti Utara Malaysia
Uncontrolled Keywords: Penghayatan nilai murni, lokasi sekolah, aliran pengajian, jantina
Subjects: L Education > LB Theory and practice of education > LB1603 Secondary Education. High schools
Divisions: School of Education & Modern Languages
Depositing User: Mrs. Norazmilah Yaakub
Date Deposited: 09 Aug 2018 04:41
Last Modified: 09 Aug 2018 04:41
URI: https://repo.uum.edu.my/id/eprint/24615

Actions (login required)

View Item View Item