UUM Repository | Universiti Utara Malaysian Institutional Repository
FAQs | Feedback | Search Tips | Sitemap

Pengharmonian litigasi sivil dengan litigasi syariah dalam perbankan Islam: Pandangan pengamal undang-undang syariah dan badan penasihat syariah


Ahmad Sharif, Nurretina and Ali, Hassan and Ayub, Zainal Amin and Hussain, Mohammad Azam and Abd Aziz, Ahmad Shamsul (2006) Pengharmonian litigasi sivil dengan litigasi syariah dalam perbankan Islam: Pandangan pengamal undang-undang syariah dan badan penasihat syariah. Project Report. Universiti Utara Malaysia. (Unpublished)

[img] PDF
Restricted to Registered users only

Download (1MB)
[img]
Preview
PDF
Download (1MB) | Preview

Abstract

Litigasi adalah proses undang-undang dalam membuat tuntutan atau dakwaan di mahkamah berkaitan sebarang pertikaian dan ianya adalah tertakluk kepada prosedur yang tertentu, sama ada prosedur mahkamah sivil atau Syariah.Menurut perspektif perundangan Islam, al-qada’ merupakan suatu proses untuk menyelesaikan tuntutan, mendamaikan pergaduhan dan mengatasi persengketaan di antara dua pihak atau lebih melalui proses undang-undang.Persoalan yang timbul dalam perbankan Islam di Malaysia ialah, walaupun produk yang diwujudkan adalah berlandaskan Islam, namun sekiranya timbul sebarang pertikaian, mahkamah yang mempunyai bidangkuasa membicarakannya adalah mahkamah sivil.Ini bermakna litigasi yang terlibat, iaitu proses undang-undang dalam membuat tuntutan atau dakwaan di mahkamah berkaitan sebarang pertikaian adalah tertakluk kepada prosedur mahkamah sivil.Ini telah diputuskan di dalam kes Bank Islam Malaysia Berhad lwn Adnan b Omar (1994) 3 CLJ 735, di mana telah diputuskan bahawa Mahkamah Tinggi mempunyai bidangkuasa dalam kes perbankan Islam.Terdapat pandangan melalui sorotan karya bahawa perbankan Islam bukanlah satu sistem yang boleh diperkenalkan dengan hanya menghapuskan elemen riba, tetapi juga mengambil keseluruhan prinsip-prinsip Islam yang mempunyai undang-undang Syariah yang lengkap yang merangkumi keseluruhan spektrum perbankan Islam tanpa faedah termasuk forum penyelesaian pertikaian yang timbul dari kontrak ini iaitu mahkamah Syariah. Sehubungan dengan itu, kajian ini dibuat adalah untuk meninjau sama ada undang-undang litigasi perbankan sivil adalah berharmoni dengan undang-undang Syariah, di samping meneliti masalah-masalah yang wujud dalam pelaksanaan kes-kes perbankan Islam di mahkamah Syariah.Oleh itu, satu soal selidik telah direka bentuk untuk mengkaji persepsi responden tentang sejauhmana aspek-aspek yang berkaitan dengan litigasi perbankan sivil adalah berharmoni dengan Syariah.Di samping itu juga persepsi responden terhadap permasalahan yang dihadapi dalam melaksanakan undang-undang Syariah dalam perbankan Islam juga turut dikaji dalam soal selidik.Skala respon yang digunakan adalah berbentuk skala Likert 4 poin dengan 1 = sangat tidak setuju; 2 = tidak setuju; 3 = setuju; dan 4 = sangat setuju.Kajian ini adalah berbentuk kajian lapangan di mana data telah diperolehi daripada responden melalui kajian survey.Responden kajian ini terdiri daripada peguam syarie, hakim mahkamah tinggi Syariah, dan ahli badan penasihat Syariah perbankan Islam di Malaysia.Senarai responden peguam syarie telah diperolehi daripada Direktori Undang-Undang yang diterbitkan oleh Majlis Peguam Malaysia.Memandangkan bahawa terdapat hanya 307 orang peguam syarie, maka kajian ini telah memilih kesemua peguam tersebut sebagai responden kajian.Responden kedua dalam kajian ini terdiri daripada hakim mahkamah tinggi Syariah.DiMalaysia terdapat 35 orang hakim mahkamah tinggi Syariah.Kesemua mereka telah dipilih sebagai responden kajian.Responden ketiga dalam kajian ini ialah ahli badan penasihat Syariah perbankan Islam di Malaysia.Maklumat daripada Bank Negara Malaysia menunjukkan terdapat 58 orang ahli badan penasihat Syariah perbankan Islam di Malaysia.Kajian ini telah memilih kesemua 58 orang ahli badan penasihat Syariah sebagai responden kajian. Dua kaedah utama digunakan untuk pengutipan data iaitu kaedah pos dan kaedah temubual.Kaedah pos telah digunakan dalam pengumpulan data di kalangan responden peguam syarie. Kaedah kedua yang digunakan ialah temuduga.Kaedah ini digunakan untuk memperolehi data daripada hakim mahkamah tinggi Syariah dan ahli badan penasihat perbankan Islam. Data yang diperolehi di dalam kajian ini dianalisis dengan menggunakan kaedah statistik deskriptif.Oleh kerana skala respon yang digunakan adalah berbentuk 4 poin iaitu 1 = sangat tidak setuju dan 4 = sangat setuju, maka min yang digunakan untuk menentukan sama ada pandangan responden bahawa litigasi perbankan sivil adalah berharmoni atau tidak berharmoni dengan Syariah ialah min 2.5. Sekiranya min yang diperolehi adalah kurang daripada 2.5, maka pandangan responden adalah litigasi perbankan sivil adalah tidak berharmoni dengan Syariah. Sebaliknya jika min adalah lebih tinggi daripada 2.5, maka pandangan responden adalah litigasi perbankan sivil adalah berharmoni dengan Syariah. Dapatan daripada kajian secara amnya menunjukkan bahawa litigasi perbankan sivil adalah berharmoni dengan litigasi Syariah.Peguam syarie, hakim mahkamah tinggi Syariah serta ahli badan penasihat Syariah perbankan Islam secara umumnya bersetuju bahawa hampir keseluruhan proses litigasi perbankan sivil seperti saman, affidavit, kehadiran, dan sapina adalah berharmoni dengan litigasi Syariah.Cuma terdapat perbezaan pendapat di kalangan responden yang bijaksana di dalam dua proses litigasi iaitu pliding dan penzahiran.Responden-responden yang terlibat dalam kajian ini kesemuanya bersetuju bahawa seseorang yang bukan Islam tidak boleh menjadi hakim di dalam sebarang litigasi Syariah.Pandangan ini adalah amat kuat di kalangan hakim Syariah (M = 1.45; SP = 0.83), diikuti dengan ahli badan penasihat Syariah (M = 2.00; SP = 0.93) dan seterusnya oleh para peguam syarie (M = 2.16; SP = 0.89).Semua responden juga amat tidak bersetuju bahawa hakim yang fasiq (yang diketahui kefasikannya) adalah layak menjadi hakim dalam litigasi Syariah adalah berharmoni dengan Syariah. Responden yang bijaksana secara amnya cenderung untuk bersetuju bahawa wanita boleh menjadi hakim di dalam litigasi Syariah.Para hakim dan ahli badan penasihat Syariah sangat tidak bersetuju bahawa bilangan saksi dan jantina yang tidak merupakan elemen penting dalam menentukan keberatan persaksian seseorang saksi serta keberatan saksi wanita dan lelaki adalah sama adalah berharmoni dengan litigasi Syariah.Responden juga bersetuju terdapat halangan undang-undang, sumber manusia dan sumber rujukan yang terpaksa dihadapi untuk melaksanakan serta membawa sebarang perbicaraan dan litigasi berkaitan perbankan Islam ke mahkamah Syariah.

Item Type: Monograph (Project Report)
Additional Information: Perbankan Islam, Litigasi, Syariah, Sivil, Harmoni
Subjects: H Social Sciences > HG Finance
Divisions: College of Arts and Sciences
Depositing User: Mrs. Norazmilah Yaakub
Date Deposited: 02 Jul 2013 08:06
Last Modified: 10 Jul 2014 01:35
URI: http://repo.uum.edu.my/id/eprint/7926

Actions (login required)

View Item View Item